Perempuan.
Sesekali, ada rasa terkilan bila teringat diri sendiri tak seperti perempuan biasa. Yang cakapnya baik-baik, yang obses dengan penampilan, yang tahu ada sesetengah perkara tidak patut dilakukan, hanya kerana telah dilahirkan sebagai perempuan. Bila umur sudah melebihi 20, terfikir juga: bila lagi hendak belajar berkelakuan seperti perempuan yang sepatutnya? Bila sudah 20, sudah dewasa, bukannya kanak-kanak atau remaja, pasti orang lain akan mengata. Pasti orang lain akan menyebut. Umur sudah 23, mustahil masih boleh terlepas daripada pandangan sinis apabila berpakaian seluar jeans, t-shirt dan selipar dan bercakap kasar seperti lelaki. Bukan tidak pernah cuba untuk jadi lebih feminin (hadoi, nak muntah rasa), tetapi untuk apa menipu diri sendiri dan orang lain? Mungkin perawakan kasar tidak mencerminkan keperibadian perempuan yang sebenarnya, tetapi sekurang-kurangnya menjadi diri sendiri. Bukan meniru orang lain, sehingga identiti sendiri hilang dalam penipuan. ...