Pulau kecil di Borneo.
Satu hari nanti, kalau ada masa, aku nak jejak semula pulau kecil di Borneo tu. Bukan sekadar jejak dan shopping, tapi aku nak pergi satu-satu tempat yang pernah aku tinggal, singgah, bermain, menangis dan ketawa dulu.
Hujung tahun 1997, sampailah tengah tahun 2010. Hujung 2009, aku dah pun keluar dari pulau, nak cari sesuatu yang baru. Pulang semula tengah 2010; sekejap saja, nak uruskan semua barang untuk berpindah.
Mungkin berbelas tahun di pulau kecil tu tak banyak yang aku ingat. Mungkin berbelas tahun di pulau kecil tu aku masih tak belajar nak terus berhubung dengan semua orang. Mungkin berbelas tahun di pulau tu dah ajar banyak benda, cuma aku saja yang belum sedar. Mungkin, selain daripada dialek tempatan, aku belajar untuk tak mendiskriminasi orang lain, hanya kerana mereka bangsa berbeza, agama berbeza, dengan adat yang berbeza.
Sekolah rendah: dua sekolah berbeza. Sekolah agama juga macam tu. Sekolah menengah, cuma satu, lima tahun, dengan kawan-kawan yang entah apa khabar berita, yang aku tak pernah cuba nak mencari. Mungkin teknologi dulu tak macam sekarang. Mungkin silap aku juga, tak pernah bersungguh nak cuba kekalkan hubungan, bila masing-masing dah berpisah, dah bawa haluan sendiri.
Tapi, sampai sekarang, aku tak pernah nafikan yang aku sayang pulau kecil tu. Aku sayang semua kawan yang aku jumpa di situ. Aku bangga bila aku faham, dan boleh bertutur dengan dialek tempatan. Mungkin aku tak pernah mengaku aku berasal dari pulau kecil tu, tetapi itu cuma fakta. Hakikatnya, walaupun pulau kecil tu bukan asal aku, bukan tempat aku lahir, pulau kecil tu yang ajar aku banyak benda tentang hidup. Pulau kecil tu yang jadikan aku kuat. Pulau kecil tu yang jadikan aku sekarang.
Dan aku rindu pulau kecil tu.
Comments
Post a Comment