Famili.

Jujur cakap aku tak pernah rasa rapat dengan mak, adik-adik atau pun ayah aku. Aku lagi selesa luahkan perasaan pada kawan, lagi selesa untuk tidak terlalu dekat secara hati ke hati dengan keluarga sendiri. Mungkin cara mama dan ayah sendiri yang sangat jarang menyebut perasaan, jadi kami adik-beradik agak kurang vokal tentang rasa hati.

Tapi lepas Adam lahir, aku tengok sendiri macam mana adik aku dan mama jaga Adam. Jaga aku. Ya, bukan kali pertama mereka berkorban tapi kerana Adam mata aku jadi lebih celik. Mungkin juga kerana aku sendiri sudah jadi mama, jadi aku mula belajar perasaan seorang ibu.

Walaupun keluarga aku jarang memahami sebab atas setiap tindakan aku, tapi mereka jarang pertikaikan melainkan pandangan mereka lebih baik. Aku perhati sendiri macam mana mama dan adik aku sanggup korbankan tidur untuk menjaga Adam sedangkan aku ibunya sendiri hanya menjenguk Adam setiap kali dia menangis, dua malam itu. Dan bila aku bertanya pada mama, bahaya kalau anak kecil menangis terlalu lama jawabnya, "bahayalah, tapi kau tu pun boleh stress. Tu yang boleh jadi meroyan tu."

Aku tersentak. Soalan aku lebih kepada risau jika Adam meragam teruk sekali lagi tapi mama cuma risaukan aku. Ya, mak mana tak sayang anak tapi aku bukan anak macam yang lain. Perlu dijentik dulu untuk beringat. Dan bila adik aku sendiri tidak kisah untuk tidur dengan Adam selama sebulan (tak jadi pun, dah ada penyelesaian) sepanjang aku di sini, aku rasa bersyukur sekali lagi. Bila mama menolak duit yang aku pinjam dahulu sementara menunggu Azhar memberi duit dan ayah yang sanggup bayarkan keperluan aku dan Adam aku rasa bersyukur. Menitik air mata aku masa susukan Adam. Bersyukur dalam tangis senyap. Malu, jika mereka sedar. Kerana aku sendiri tak betah menceritakan tentang hati sendiri.

Wahai anak yang baru berusia 10 hari, ketahuilah kau sangatlah bertuah. Kiri kanan atas bawah ucapan tahniah dan kasih mereka yang ada di sekeliling kau sangatlah besar. Mama doakan Adam tak mensia-siakan apa pun yang diterima, buruk atau baik, dan semoga lebihnya baik daripada yang buruk.

Comments

Popular posts from this blog

Masscomm

Serabut.

In just another blink of an eye.