...

Penat dah fikir. Sampai stress, migraine, bad mood semua ada. Silap dia, sebab fikir apa yang mungkin akan jadi. Silap dia, kerana tidak mahu simpan harapan, semua yang keluar semua yang negatif. Macam mana tidak stress, tidak migraine? Belum pasti, belum ada penutup yang jelas. Petunjuk, kata-kata sindiran tidak cukup jelas. Tidak cukup untuk menggantikan noktah.

Konon-kononnya berfikir benda yang paling teruk sebab hendak bersedia. Sediakan hati dan fikiran untuk jadi lagi terbuka. Bukan sekali, banyak kali. Tapi masih juga tidak sanggup bila realiti datang, dan tanpa salam, terus menghadiahkan penampar. Katanya, memang mustahil hendak bersedia dengan semua realiti hidup. Tetapi aku benci dengan benda yang tidak pasti. Aku benci risiko yang aku sendiri tidak dapat pastikan kesannya. Aku benci. Kalau boleh, aku mahu tahu semua risiko, sebelum ambil keputusan.

Macam sekarang. Hampir lima tahun dulu, aku ambil keputusan yang banyak risiko. Aku redha, aku terima. Aku tahu, aku boleh hadap sebarang masalah daripada risiko tersebut. Sebab bukan kali pertama. Kali pertama, setengah tahun aku hilang. Hilang dan tiada siapa tahu. Hidup lagi, di manakah, hampir semua orang tidak tahu. Selang sebulan, orang sudah lupa. Baru mahu sedar, kerdil sangat aku sebenarnya. Aku ingat semua, tapi tiada yang ingat apa jadi. Ayat sedapkan hati, semua orang sibuk. Tiada masa hendak bertanya khabar. Tidak mengapa.

Aku belajar untuk buat sendiri. Tidak tahu, tanya orang. Tidak pasti, minta saja sesiapa teman. Tak kisahlah kawan baik, kawan biasa atau pun orang yang tidak suka. Hidup mesti pandai berdikari. Orang lain, tidak mahu mencari aku, minta tolong. Aku sendiri tidak mampu, hendak menolong orang? Mungkin orang lain kurang percaya. Tidak mengapa. Aku sendiri benci bila orang yang kita percaya, rupanya tidak boleh diharap. Aku biarkan saja.

Perlahan-lahan, aku belajar karenah orang. Aku perhatikan orang lain. Oh, kalau jadi begitu, itu reaksinya. Kalau buat begini, ini hasilnya. Satu-satu aku lihat, aku simpan dalam kepala. Mahu hidup, katanya. Perlulah belajar bagaimana orang lain hidup juga. Aku masih belum arif, dan tiada sesiapa boleh faham, boleh bantu. Tak mengapa, silap sendiri, betulkan sendiri. Ayat sedapkan hati.

Lama aku simpan. Lama aku pendam. Berapa ramai pernah lihat aku menangis, bila aku luahkan perasaan? Berapa ramai boleh faham dengan apa yang aku luahkan? Berapa ramai boleh terima, apa yang aku fikirkan? Berapa ramai? Hampir kepada kosong. Tak mengapa, simpan saja sendiri. 

Aku lihat orang, secara tidak langsung, aku faham. Aku faham kenapa dia ambil tindakan tersebut. Aku faham kenapa dia jadi begitu. Aku faham hampir keseluruhan, walaupun aku mungkin tidak boleh terima logik akal mereka. Tidak mengapa. Logik akal aku sendiri masih belum ada yang mengerti. Masih ramai yang kata, terlalu innocent. Atau terlalu ideal. Tidak mengapa.

Aku benci bila ada orang tahu aku menangis. Aku benci reaksi orang bila tengok aku menangis. Aku benci. Sebab itu, aku selalu menangis sendiri. Biar tiada yang tahu, biar aku saja pujuk diri sendiri. Lagi mudah daripada melihat reaksi orang lain yang tidak pernah faham. Lagi senang.

Selalunya, aku mampu tahan air mata, walaupun aku sungguh-sungguh terasa. Aku boleh abaikan semua, biarkan saja. Aku memilih orang yang aku bagi lihat air mata tersebut, tidak macam dulu. Tidak macam lima tahun sudah. Aku perlu jadi kuat, dan aku perlu buat semua sendiri.

Comments

Popular posts from this blog

Masscomm

Serabut.

In just another blink of an eye.