Faham.
Aku tidak pernah minta orang lain untuk faham rasional aku. Sebab aku sendiri tahu, mana ada manusia lain yang sanggup mengasing dan menyusun satu-satu buah fikiran dan perasaan, supaya tidak bercampur-aduk. Bukan mudah hendak dilaksanakan, dan kalau kau tidak mengerti, tak usah pertikaikan keputusan aku.
Kau bukan sesiapa pada aku. Jumpa pun tidak pernah. Sekadar berkongsi pengalaman lepas, yang aku sudah dengar dan lihat sendiri, bagi aku tidak perlu.
Siapa yang kau cuba tipu? Diri sendiri? Aku yakin dengan keputusan aku. Tapi kau? Semua yang keluar daripada mulut kau seperti semuanya tiada cacat-cela. Sepertinya kau minta maaf kepada diri sendiri, kerana bukan kau yang ada di tempat aku sekarang.
Walaupun untuk berdiri di tempat sekarang bukan sesuatu yang orang lain mahukan, tapi aku tahu, itulah kau inginkan selama ini. Yang kau kejar selama ini. Terus-menerus menipu diri, terus-menerus menjadi seteru. Untuk apa?
Allah tu Maha Adil. Mungkin hari ini, aku sakit. Mungkin silap aku. Mungkin kau yang tidak pernah sedar. Tapi ingat, balasan Tuhan, cepat atau lambat, zahir atau tidak, datangnya pasti. Bukan aku mengugut, tetapi itu janji Tuhan, dan aku harap aku masih dapat bersabar.
Ya, kata-kata kau berbisa, tetapi bagi aku, yang sudah tempatnya di belakang. Bukan untuk dibawa menjadi beban di depan.
Comments
Post a Comment