Serabut.

Kepala serabut. Bukannya kerana tugasan sudah mula menimbun. Bukan juga sudah mula berasa penat kerana terpaksa berulang dari rumah ke kampus. (Rumah-kampus: 28km. Baru teringat hendak kira kilometer tengahari tadi.) Bukan juga masalah dengan kawan, bukan juga masalah dengan manusia lain.

Masalahnya dalam diri sendiri. Bila kepala terlalu banyak berfikir, bila kepala tidak faham bahasa dan berhenti berfikir, mulalah merungut kepala serabut. Payah jadi manusia yang tidak tahu bila hendak berhenti berfikir, tetapi tidak pernah berfikir sebelum bercakap.

Bukan seorang dua pernah berpesan, tak perlulah fikir banyak sangat. Bukan tidak pernah cuba, tetapi setiap kali kepala hendak shut down, untuk tidur, ketika itu datang idea baru untuk perkara lama. Dan idea baru itu akan dibahaskan dalam kepala sendiri, sehinggalah mata benar-benar mengantuk dan otak terlalu penat dan akhirnya tertidur begitu sahaja. 

Bila bangun pagi, badan automatik akan bersiap, ambil beg, salam tangan mama dan ayah, dan masuk kereta. Semasa tunggu enjin panas, tukar stesen radio, dan terus keluar rumah. Bila jalan sesak, kereta bergerak perlahan, teringat semula bahas dalam kepala malam tadi. Hampir sejam dalam kereta, mulalah berfikir semula. Mulalah berkerut dahi, bercakap dengan diri sendiri (ye, selalu cakap dengan diri sendiri), dan selagi tiada perkara lain yang boleh mengalihkan perhatian, selagi itulah kepala akan terus berfikir. Mujur juga setiap kali pensyarah sudah mulakan kelas, semua fikiran hilang dan kepala mula fokus pada syarahan.

"Ha, tu kan boleh berhenti berfikir?"

Betul, tetapi bergantung kepada apa yang difikirkan. Jika rasanya terlalu berat, pasti kepala melayang, langsung tidak ada di dalam kelas, hanya jasad yang tinggal. Dan pada penghujung hari, kepala sakit. Bukan tidak mahu berhenti berfikir, sudah tidak mampu. Oleh sebab tidak mampu, kini sedang belajar bagaimana untuk memastikan berfikir terlalu banyak itu tidak mengganggu kerja seharian. Sakit juga bila kepala berat dengan pelbagai fikiran, dan akhirnya banyak perkara penting dilupakan. 

Jujurnya, dari kecil memang begini. Minta maaf kepada yang baru kenal, dan soalan yang paling kerap diajukan adalah "kenapa?" Kenapa begini, kenapa begitu. Jika tidak dapat jawapan, pasti akan dicari sampai puas hati. Rasa ingin tahu terlalu kuat, kata orang. 

Tidak mengapa jika perkara itu berbentuk teknikal, jawapannya sudah tersedia, cuma belum berjumpa. Tetapi hidup ini terlalu banyak yang abstrak, terlalu banyak yang kita tidak pasti. Contoh paling mudah, masa depan. Ada juga masa-masa tertentu kepala akan serabut tentang masa depan, walaupun tiada yang pasti dengan masa depan. Kepala tidak boleh berhenti berfikir, begitulah jadinya.

Selepas ini, mungkin kalau kepala terlalu berat, perlu cari teman untuk berbual mungkin. Kadang-kadang tidak semua boleh diluahkan di blog ini, kerana kita tidak tahu apa yang boleh terjadi. Alam maya sekarang menakutkan, perlu berhati-hati.

Tetapi, kalau blog ini hampir tiada yang sudi baca (mungkin terlalu banyak merapu) adakah sesiapa yang sanggup mendengar semua fikiran dalam kepala?



p/s Biasalah tengah semester pasti mencari alasan kepala serabut. Lain kali boleh tampar diri sendiri, mungkin.

Comments

Popular posts from this blog

Masscomm

In just another blink of an eye.