Pendam.
Setiap orang ada batasnya dalam pergaulan. Tidak kisahlah dengan siapa pun, pasti ada sesuatu yang boleh membuatkan kita marah, cuma tahapnya berbeza, bergantung kepada berapa rapat kita dengan seseorang tersebut.
Ada sesetengah orang, banyak benda yang tidak kena pada matanya, tetapi dia diam, tidak banyak kata. Sering kali sebabnya tidak mahu bergaduh, sering kali sebabnya tidak mahu mencipta drama.
Selalunya, orang begini adalah orang yang kita gelar tidak tahu marah, hanya diam dan senyum; terima apa sahaja yang orang lain lemparkan, baik mahupun buruk. Mana mungkin, orang yang sering kali lepas dalam pertuturan tahu memendam rasa, bukan?
Salah. Kita semua memendam rasa, cuma apa yang dipendam dan bagaimana perasaan dipendam itu berbeza. Mungkin juga kerana teman rapat, keluarga atau orang yang lebih atas, mencipta drama sama seperti merosakkan perjalanan hidup. Bayangkan jika semua yang tidak puas hati hendak diluah, walaupun pada mereka yang merupakan sebahagian daripada kehidupan seharian. Bahagiakah hidup sebegitu?
Mungkin jawapan setiap orang berbeza. Pendapat kita tak akan sama, atas banyak sebab. Bagi diri sendiri, sampai bila hendak bersabar menghadap kerenah yang menjengkelkan setiap hari? Mampu lagi untuk berpesan pada hati untuk bersabar, mampu lagi berpesan pada kepala untuk tidak terlalu teringat? Mampukah jika sudah lebih setengah tahun menahan sabar?
"Pendam perasaan ni bahaya," itu ayat lazim diucap kepada mereka yang sedang melepaskan marah. Bukan apa, jangan sebab teman rapat, sanggup biarkan mereka melakukan sesuka hati pada kita. Bukan dia seorang punya perasaan, bukan dia seorang tahu marah dan terasa. Kita bukan mahu bergaduh dan mencipta drama, kita cuma mahu masing-masing faham bukan selamanya kita boleh terlepas memperlaku teman rapat dan keluarga sedemikian rupa.
Kalau sudah tahu apa yang silap, dan yang pendam perasaan sanggup maafkan, janganlah diulang lagi silap yang sama. Bukan tidak dimaklumkan, sudah banyak kali. Sehingga jadi drama pula. Mustahil masih tidak faham, masih tidak ingat? Bukan susah hendak faham, cuma kerana kita sering terlupa dia juga manusia, punya rasa punya hati. Hanya kerana sebelum ini dia mampu bersabar, tidak mungkin selamanya dia mampu bersabar. Sudah namanya manusia.
Perkataan maaf sahaja tidak mencukupi bila kesalahan yang sama diulang. Tunjuklah sedikit kesungguhan hendak meminta maaf dengan tindakan. Apa ada pada perkataan yang manis di mulut, sedap didengar tapi tiada pemberatnya?
p/s Air mata laju benar turun. Biarlah, keputusan sendiri, jangan menyesal, jangan patah balik dan sakitkan diri sendiri banyak kali seperti sebelum ini.
Comments
Post a Comment